Resume adalah satu-satunya jurucakap anda kepada bakal majikan sesebuah
syarikat yang diidam-idamkan. Pentingnya resume kepada setiap graduan,
tetapi masih ada yang memandang ringan kepentingannya. Apakah pengisian
resume yang terbaik? Ada beberapa tips untuk dikongsikan terutamanya
kepada graduan yang baru pertama kali menulis resume. Semoga bermanfaat
untuk semua.
FORMAT RESUME
Resume yang baik mestilah terdiri daripada format berikut:
i. Maklumat diri / About Me
ii. Kelayakan pendidikan / Education
iii. Pengalaman bekerja / Working Experience
iv. Kemahiran kendiri / Personal Strength
v. Gaji / Salary
vi. Rujukan / Reference
i. MAKLUMAT DIRI yang wajib adalah nama, emel, nombor telefon,
nombor kad pengenalan dan alamat surat menyurat yang terkini. Ingat,
alamat emel mestilah menggunakan nama rasmi anda! Saya pernah melihat
alamat emel yang terlalu kebudak-budakkan dan tidak formal. (cth :
cayunkhoney@yahoo.com / akuadakauada@gmail.com). Kelakar pun ada!
Sekiranya anda memilih untuk meletakkan gambar bersaiz pasport, pastikan
ianya adalah gambar terbaik anda. Formal, ceria dan jelas. Tidak
terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Jika tidak, adalah lebih baik
anda lupakan hasrat untuk meletakkan gambar.
ii. KELAYAKAN PENDIDIKAN seeloknya diletakkan di bahagian atas
resume sejurus selepas maklumat diri. Sekiranya anda memiliki Ijazah dan
Diploma, maka keputusan PMR dan UPSR tak perlulah diletakkan di dalam
resume. Malah tidak menjadi kesalahan jika anda hanya meletakkan
kelayakan tertinggi sahaja di dalam resume. Jangan lupa letakkan CGPA
atau keputusan terkini anda.
Untuk graduan yang belum pernah bekerja, adalah elok jika anda
menyenaraikan beberapa mata pelajaran dan keputusan yang anda capai.
Saya pernah menyenaraikan subjek dengan keputusan A sahaja di dalam
resume dan senarai ini akan berubah-ubah mengikut kerjaya yang saya
mohon.
iii. PENGALAMAN BEKERJA mestilah relevan dengan kerjaya yang anda
mohon. Contohnya, pengalaman bekerja secara sambilan di Seven Eleven
tidak perlulah dimasukkan ke dalam resume untuk jawatan Eksekutif di
syarikat korporat. Pengalaman tersebut mungkin lebih sesuai sekiranya
anda memohon kerja di syarikat perkhidmatan. Bukan menafikan usaha
berdikari anda, tapi untuk menjimatkan ruang dan kertas. Adalah lebih
baik jika anda menulis tentang nilai-nilai dan kemahiran yang anda
pelajari selama bekerja.
iv. KEMAHIRAN KENDIRI seharusnya melambangkan siapa diri anda dan
mestilah sesuai dengan kerjaya yang dipohon. Anda boleh juga
menyenaraikan jawatan yang dipegang dan anugerah yang pernah dicapai
dalam aktiviti kokurikulum. Senaraikan semua jawatan Presiden, Naib
Presiden, Setiausaha atau Bendahari kerana ia melambangkan daya
kepimpinan anda.
Fikir-fikirkan, penglibatan anda sebagai ahli pasukan tarian mungkin
tidak relevan untuk syarikat Korporat tetapi relevan untuk syarikat
Perkhidmatan dan Hiburan. Mungkin lebih baik jika anda memberitahu
kemahiran anda yang lain seperti perisian komputer dan sukan. Majikan
juga manusia biasa dan kadang-kadang mereka bias kepada persepsi
tersendiri.
v. GAJI
adalah penting untuk mereka yang pernah bekerja sebelum ini. Gaji lama
dan gaji baru yang anda minta akan membantu syarikat untuk menentukan
kemampuan kewangan mereka untuk "membeli" anda. Bagi graduan yang belum
pernah bekerja, gaji baru seharusnya mengikut harga pasaran contohnya
RM2,000 walaupun anda tahu syarikat besar seperti Shell dan Exxon Mobil
mampu membayar lebih daripada itu. Tak mengapa meminta gaji yang rendah,
kerana anda perlu melihat gaji bukan hanya pada nombor tapi juga pada
faedah (benefits), persekitaran tempat kerja (working environment),
peluang memajukan kerjaya (career progression) dan mungkin juga lokasi.
vi. RUJUKAN akan membantu syarikat menentukan tahap
profesionalisma anda, selain daripada memudahkan mereka untuk membuat
semakan. Justeru, elakkan daripada menamakan ayah atau adik beradik
sebagai rujukan kerana ia bukanlah rujukan yang adil. Jurulatih Bola
Sepak juga bukanlah rujukan yang baik (kecuali kalau anda meminta
jawatan pegawai sukan)! Rujukan terbaik adalah mereka yang pernah
bekerja dengan anda dan gunakan jawatan rasmi mereka. Saya pernah
meminta izin daripada pensyarah universiti dan pegawai kolej untuk
meletakkan nama mereka sebagai rujukan dan saya serahkan satu salinan
resume kepada mereka.
Itu sahaja contoh pengisian resume yang wajib ada di dalam sesebuah
resume. Banyak kali saya nyatakan bahawa maklumat di dalam resume
seharusnya bersesuaian atau relevan dengan kerjaya yang dipohon. Resume
saya dulu dibahagikan mengikut kategori syarikat seperti Kerajaan,
Korporat/Swasta, Perkhidmatan dan Hiburan. Dan semestinya setiap resume
saya akan mempunyai maklumat yang relevan dengan penekanan dan susunan
yang berbeza. Susah atau Usaha? Terserah anda :-)
Ini baru bab pengisian resume. Belum bab design atau rekaletak lagi.
Nanti saya akan kongsikan lagi. Selamat menulis resume ! :-)
0 comments:
Post a Comment